Bantuan banjir DUN Melalap dipergiat, 12 PPS tampung hampir 1,500 mangsa

tenombanjirJamawi5

Jamawi (kiri) mengedarkan makanan kepada orang ramai ketika membuat pemantauan di PPS semalam.

TENOM: 26 Februari 2026 – Usaha meringankan beban penduduk yang terjejas akibat banjir, khususnya di kawasan Melalap, terus diperhebatkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap (ADUN) yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, pelbagai bentuk bantuan segera sedang digerakkan bagi memastikan mangsa banjir memperoleh keperluan asas dengan cepat, termasuk penyaluran bekalan makanan, air bersih, kit kebersihan dan barangan keperluan harian.

tenombanjirJamawi1

Jamawi (kanan) menyantuni orang ramai dan kanak-kanak yang terjejas akibat banjir di PPS bagi DUN Melalap.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di seluruh DUN Melalap untuk menempatkan kira-kira 450 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan hampir 1,500 penduduk yang terjejas akibat banjir.

Katanya, semua PPS tersebut dikawal selia dengan rapi untuk memastikan keselamatan dan keselesaan mangsa sepanjang berada di pusat pemindahan.

Jamawi berkata, Tenom turut mengalami banjir sebanyak tiga kali sejak awal tahun ini, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada penduduk dan pihak berkuasa dalam usaha menangani situasi kecemasan.

Beliau menegaskan kerjasama erat antara Pejabat Daerah Tenom, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi faktor utama kelancaran operasi bantuan.

Menurutnya, semua agensi terbabit bekerja secara bersepadu bagi mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada mangsa.

Selain bantuan kecemasan, beliau berkata, pihak ADUN dan kementerian turut menilai keperluan bantuan susulan termasuk kerja pembersihan rumah, penilaian kerosakan harta benda serta penyaluran bantuan pemulihan.

Langkah tersebut, katanya, bertujuan membantu penduduk kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin selepas keadaan banjir surut.

Jamawi turut menekankan kepentingan langkah pencegahan dengan menasihatkan penduduk agar sentiasa memantau keadaan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

Beliau juga memuji kerjasama komuniti setempat yang tampil membantu mangsa banjir melalui penyediaan makanan, pakaian dan keperluan lain secara sukarela.

Menurutnya, sokongan masyarakat itu sedikit sebanyak meringankan beban penduduk yang terjejas selain memperkukuh semangat kebersamaan dalam menghadapi bencana.

Jamawi menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk terus memantau situasi banjir di kawasan terlibat.

“Kerajaan Negeri akan memastikan segala bantuan dan sokongan diberikan secara berterusan sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal