BANJIR SABAH: SIPITANG DAN KENINGAU PULIH, MANGSA DIBENARKAN PULANG
KOTA KINABALU- Dua daerah iaitu Sipitang serta Keningau pulih daripada bencana banjir dan mangsa yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara di dua daerah itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan hanya 528 mangsa banjir daripada 162 keluarga masih berada di tujuh PPS di tiga daerah negeri ini iaitu Tenom, Beaufort dan Kunak.
Tenom, sebuah daerah di pedalaman negeri, masih menempatkan mangsa banjir terbanyak iaitu 443 mangsa banjir daripada 139 keluarga dipindahkan di lima PPS di daerah itu.
Rumah Kebudayaan Makakagas menempatkan 117 mangsa daripada 32 keluarga; Rumah Kebudayaan Kalang Kanar (29 mangsa, tujuh keluarga); Rumah Kebudayaan Gunting (33 mangsa, tujuh keluarga); Rumah Kebudayaan Pagukon (214 mangsa, 78 keluarga); dan Kompleks Sukan Tenom (50 mangsa, 15 keluarga).
“Trend semasa pemindahan mangsa dan bencana banjir di Sabah ketika ini adalah menurun, manakala cuaca baik di kebanyakan kawasan di Sabah malam ini,” kata kenyataan itu.
PPS di Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir di Beaufort pula menempatkan 57 mangsa daripada 17 keluarga, manakala Dewan Kampung Airport Tun Fuad di Kunak menempatkan 28 mangsa daripada enam keluarga.
Sementara itu Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memberitahu Jalan Sumbilingon Pituru Laut di Kota Belud ditutup dan tidak boleh dilalui semua kenderaan buat sementara waktu kerana dinaiki air banjir, namun tiada jalan alternatif yang boleh dilalui pengguna jalan raya buat masa ini.
– BERNAMA
0 Comments