Banjir Beaufort Memburuk, Lebih 230 Mangsa Dipindahkan

BEAUFORT: 11 September 2025 – Situasi banjir di Beaufort semakin meruncing apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon meningkat kepada 233 orang daripada 69 keluarga setakat pagi ini, berbanding 199 mangsa semalam.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, lapan kampung kini terjejas, manakala beberapa kawasan di Jalan Beaufort–Menumbok, termasuk berhampiran Kolej Komuniti Beaufort dan Pejabat Jabatan Air Sabah Bahagian Beaufort, hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat akibat paras air yang tinggi.

Selain itu, perkhidmatan kereta api turut terjejas apabila operasi hanya berjalan dari Stesen Sembulan ke Stesen Beaufort. Laluan dari Beaufort ke Tenom masih ditutup selepas landasan di kawasan Beaufort–Saliwangan ditenggelami air, manakala laluan Pangi–Rayoh terputus akibat runtuhan tanah.

Pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada pemindahan mangsa dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan berisiko, sementara usaha pemulihan infrastruktur sedang dirancang.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal