Monday, December 23, 2024

Bakal calon BN Kota Belud

Datuk Abdul Rahman Dahlan

Mohd Syukrie Johary

KOTA BELUD: Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, disebut-sebut bakal kembali mewarnai arena politik tanah air apabila dijangka dicalonkan Barisan Nasional (BN) untuk menawan kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.


Penampilan semula bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu, boleh memberi impak besar terhadap dunia politik Sabah, terutama Kota Belud yang pernah diwakilinya hampir dua penggal itu.
Abdul Rahman yang kini Ketua UMNO Bahagian Tuaran, terpaksa rehat sementara daripada menjadi wakil rakyat selepas tewas di Parlimen Sepanggar oleh calon parti WARISAN, Datuk Aziz Jaman pada PRU14.
Walaupun kurang aktif hampir satu penggal, namun permintaan supaya beliau kembali bertanding sebagai calon BN di Kota Belud bertiup kencang menjelang hari penamaan calon PRU15 ini.


Bagi Abdul Rahman tidak menghadapi masalah kembali menabur khidmat kepada penduduk Kota Belud, seperti pernah dilakukannya sebelum ini. Selama menjadi wakil rakyat Kota Belud, beliau berjaya mengubah landskap ekonomi serta kemudahan di kawasan itu yang selama ini boleh dikatakan terlalu ketinggalan berpunca kegagalan wakil terdahulu melaksanakan tanggungjawab mereka ke arah itu.
Beliau dijangka bertembung penyandang kerusi kawasan itu sekarang, Isnaraissah Munirah Majilis yang menang kawasan itu atas tiket parti WARISAN pada PRU14.


Sementara itu, WARISAN mengesahkan Isnaraissah akan mempertahankan kerusinya pada PRU15 ini. Isnaraissah, anak jati Kota Belud memilik Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan serta Ijazah Sarjana Kejuruteraan Minyak dan Gas dari universiti tempatan. Beliau menjadi kebanggaan Sabah kerana lantang bersuara di parlimen mempertahankan hak rakyat terutama berkaitan negeri ini yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Sehubungan itu, menang atau kalah seorang calon yang diletakkan parti di suatu kawasan tertakluk kebijaksanaan mereka menawan hati penduduk terutama pengundi muda.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights