CANBERRA: 24 September 2025 – Pentadbiran Barangan Terapi Australia (TGA) menegaskan paracetamol kekal selamat digunakan semasa kehamilan, sekali gus menolak dakwaan yang mengaitkan ubat itu dengan peningkatan risiko autisme.
TGA dalam kenyataan memaklumkan pihaknya tidak menjalankan sebarang siasatan keselamatan aktif mengenai kaitan paracetamol dengan autisme atau gangguan perkembangan saraf.
Paracetamol diklasifikasikan sebagai Kategori A untuk Kehamilan di Australia, bermaksud ia dianggap selamat digunakan ketika hamil berdasarkan penilaian klinikal, saintifik dan toksikologi semasa pendaftaran ubat.
Dakwaan mengenai risiko autisme tercetus selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa penggunaan acetaminophen atau paracetamol yang dijual dengan jenama Tylenol di ASoleh wanita hamil boleh meningkatkan risiko autisme dalam kalangan bayi.
Presiden Persatuan Perubatan Australia (AMA), Danielle McMullen, menasihati orang ramai agar mendapatkan pandangan doktor dan pegawai kesihatan.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan ubat semasa kehamilan perlu diminimumkan, namun paracetamol kekal sebagai pilihan munasabah dan selamat untuk merawat demam serta kesakitan ketika hamil di Australia.
Sumber: Astro awani