PENAMPANG: 23 Disember 2025 – Atlet pasukan Sabah Games (SAGA) 2025 Daerah Penampang yang menyumbang kejayaan menerima insentif wang tunai mengikut kategori pingat iaitu RM1000 bagi emas, RM700 perak dan RM500 gangsa dalam majlis penyampaian insentif dan penghargaan atlet, jurulatih, pengurus dan urusetia yang terlibat dalam kejohanan tersebut di Tawau, Oktober lalu.
Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian pasukan yang berjaya mengumpul keseluruhan 45 pingat dalam temasya dwitahunan tersebut.
Sumbangan itu digerakkan oleh para pemimpin kawasan Parlimen Penampang dan disalurkan melalui Majlis Perbandaran Penampang.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah menegaskan bahawa pemberian insentif berkenaan bukan sekadar penghargaan, malah bertujuan menyuntik motivasi agar prestasi sukan di Penampang terus diperkukuh pada masa hadapan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong pasukan SAGA Penampang sepanjang kejohanan.
Menurutnya, pencapaian kutipan pingat itu wajar dijadikan pemangkin semangat kepada kontinjen lain dalam menghadapi kejohanan sukan akan datang, termasuk SAGA edisi seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Sandakan.
Sehubungan dengan itu, Ewon memberi perhatian serius terhadap keperluan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur sukan di Penampang susulan maklum balas jurulatih dan pengurus beberapa acara, antaranya karate, taekwondo, bola keranjang dan badminton. Kekangan utama dikenal pasti melibatkan kekurangan dewan masyarakat yang selamat dan berfungsi, sekali gus menjejaskan kelancaran latihan.
Beliau memaklumkan isu berkenaan akan dibawa ke peringkat perbincangan tindakan daerah untuk diteliti dan diberi perhatian lanjut, dengan hasrat menjadikan Penampang lebih bersedia sebagai tuan rumah kejohanan sukan berskala besar pada masa hadapan.
