TENOM – Daerah Tenom terus mengukuhkan reputasinya sebagai penyumbang bakat sukan berbakat di Sabah apabila dua atlet muda berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Peringkat Kebangsaan.
Joan Eve Dominic dari SMK Kemabong dan Priencesdye Brietta Dolly Siran dari SK Bakuku dipilih mewakili Sabah selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam kejohanan peringkat negeri. Kedua-dua atlet itu dijadual beraksi di Wilayah Persekutuan Labuan dari 23 hingga 25 April ini.
Pemilihan mereka mencerminkan tahap disiplin dan konsistensi tinggi yang ditunjukkan sepanjang saingan, sekali gus melayakkan mereka menyarung jersi negeri secara merit.
Kejayaan tersebut menyerlahkan potensi besar atlet dari kawasan pedalaman yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi ketika diberi peluang dan bimbingan sewajarnya. Ia juga menjadi kebanggaan komuniti pendidikan di Tenom, khususnya warga sekolah yang terlibat.
Sokongan berterusan dari jurulatih, guru dan ibu bapa dilihat sebagai faktor penting dalam membentuk kejayaan kedua-dua atlet berkenaan.
