Atasi kesesakan jalan raya Keningau keutamaan Dr Jeffrey
KENINGAU: Membina jejambat, melebarkan jalan dan mengurangkan kereta di atas jalan raya di Keningau yang semakin pesat adalah antara cara mengatasi kesesakan jalan yang perlu ditangani oleh Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Jeffrey yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Keningau pada PRU15, berjanji akan memastikan Keningau mendapat peruntukan pembangunan untuk melaksanakan projek membabitkan jalan di daerah pedalaman itu.
Ketua-ketua masyarakat Cina di daerah ini menyuarakan kebimbangan mengenai kesesakan lalu lintas di daerah itu yang semakin teruk dan mencadangkan beberapa penyelesaian jangka panjang.
Selain jejambat, mereka mencadangkan lebuh raya dua lorong sedia ada dilebarkan kepada tiga lorong.
Mereka juga mencadangkan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik dan cekap dilaksanakan di daerah ini seperti yang diamalkan di Bandar Tasil Selatan KL. Kecekapan Bandar itu membantu mengurangkan bilangan kenderaan persendirian di jalan raya.
Jeffrey bersetuju dan menjadikan masalah kesesakan lalu lintas itu sebagai keutamaannya untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di daerah ini. Beliau sedar dengan kepayahan penduduk di daerah ini terpaksa bertahan dengan kesesakan jalan sehingga berbatu-batu jauhnnya.
“Salah satu masalah terbesar di Keningau ialah kesesakan lalu lintas. Kita boleh bina jalan lingkar atau membina jejambat,” katanya di majlis makan malam bersama pemimpin masyarakat Cina di sini, Isnin.
Beliau juga menyatakan bahawa hamparan lebuh raya yang panjang antara Apin-Apin ke pusat bandar adalah ciri unik daerah ini dan boleh dieksploitasi untuk pembangunan “bandar linear”.
Ini katanya akan membantu membuka peluang perniagaan kepada masyarakat khususnya penduduk di kampung.
“Apabila Keningau semakin maju, ia boleh diangkat menjadi sebuah majlis perbandaran,” katanya menambah apabila masalah jalan selesai ia akan membantu daerah itu menjana ekonominya.
Katanya, beliau memikirkan bagaimana boleh meningkatkan pembangunan di Keningau memandangkan daerah itu jauh dari laut.
“Apa yang saya fikirkan ialah kita boleh membuat pelabuhan pedalaman supaya kita tidak perlu mengeksport hasil kita melalui Kota Kinabalu. Kita mahu eksport terus dari Keningau.
kawasan Keningau yang luas menawarkan potensi besar untuk aktiviti ekonomi berasaskan pertanian,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata industri pertanian menawarkan peluang besar kepada masyarakat untuk menyertai rantaian nilai ekonomi melalui aktiviti hiliran berasaskan pertanian.
Selain pertanian, katanya Keningau juga menawarkan potensi besar dalam pembangunan pelancongan yang akan membuka peluang perniagaan kepada masyarakat khususnya penduduk di kampung.
“Semoga apabila Keningau semakin maju, ia boleh diangkat menjadi sebuah majlis perbandaran,” katanya.
– Tv Sabah News
0 Comments