AS Laksana Tarif 25% Terhadap Import Malaysia Mulai 1 Ogos

Share the news

Washington, 8 Julai 2025 – Amerika Syarikat mengumumkan pelaksanaan tarif import sebanyak 25 peratus terhadap Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos 2025, sebagai sebahagian daripada langkah untuk melindungi industri tempatan negara itu.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Presiden Donald Trump, yang mendakwa langkah itu perlu bagi mengekang amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara. Malaysia disenaraikan bersama negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Tunisia dan Kazakhstan yang turut dikenakan tarif pada kadar sama, menerusi sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut dikenakan tarif lebih tinggi ialah Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30%), Serbia dan Bangladesh (35%), Kemboja dan Thailand (36%), manakala Laos dan Myanmar dikenakan tarif sehingga 40%.

Langkah ini susulan pengumuman terdahulu pada 2 April 2025 mengenai ‘tarif hari pembebasan’, namun pelaksanaan terhadap Malaysia dan beberapa negara lain ditangguhkan selama 90 hari bagi memberi ruang kepada rundingan perdagangan.

Penangguhan tersebut kini ditamatkan, dan rumah Putih mengesahkan Presiden Trump akan menandatangani perintah eksekutif bagi menguatkuasakan tarif tersebut bermula 1 Ogos. Surat pemberitahuan rasmi juga telah dihantar kepada negara-negara terlibat.

Pelaksanaan tarif ini dijangka memberi kesan langsung terhadap hubungan dagang dan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor barangan elektrik dan elektronik, tekstil serta komoditi.

Sumber, Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal