SOOK: 3 Oktober 2025 – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup merasmikan Cawangan Mikro Agrobank Sook, sekali gus mencatat sejarah sebagai institusi perbankan pertama membuka cawangan di daerah tersebut.
Pembukaan itu disifatkan sebagai pemangkin utama dalam meningkatkan akses kewangan, terutama bagi golongan petani, usahawan tani dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kawasan pedalaman.
Menurut Arthur, kewujudan cawangan berkenaan mampu mengurangkan beban masyarakat yang sebelum ini perlu menempuh perjalanan sehingga dua jam untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan terdekat.
Langkah itu, katanya, bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, tetapi turut membuka peluang baharu kepada pembangunan ekonomi setempat.
Beliau menegaskan bahawa meskipun dunia bergerak pantas dengan pendigitalan, perkhidmatan perbankan fizikal masih penting, khususnya bagi komuniti luar bandar yang tidak mempunyai akses internet stabil serta memerlukan rundingan kewangan bersemuka.
Pembukaan cawangan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 31,000 penduduk di Sook dan kawasan sekitar melalui pelbagai kemudahan seperti pembukaan akaun, pemindahan wang, pembayaran utiliti, produk takaful dan wasiat, kemudahan ATM dan CDM, serta khidmat nasihat kewangan.
Beliau turut menyeru penduduk tempatan memanfaatkan kemudahan yang disediakan, bukan sahaja bagi urusan harian tetapi juga untuk perancangan kewangan dan pengembangan perniagaan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata pembukaan Cawangan Mikro Agrobank Sook selaras dengan mandat bank tersebut untuk memperkukuh keterangkuman kewangan serta merapatkan jurang antara komuniti bandar dan luar bandar.
Beliau menambah, Sook merupakan cawangan ke-219 Agrobank yang terus komited menawarkan penyelesaian kewangan inklusif bagi golongan unserved dan underserved.
Majlis perasmian turut menyaksikan Arthur menaja 100 akaun baharu bagi penduduk setempat sebagai dorongan awal penggunaan perkhidmatan bank tersebut.
Sumber: Utusan borneo