KUALA LUMPUR: 11 September 2025 – Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King meneruskan kemaraan di Terbuka Hong Kong selepas menewaskan rakan senegara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, pada aksi pusingan kedua hari ini.
Dalam pertarungan selama 39 minit, Arif-Roy King mencatat kemenangan 21-17, 21-19, sekali gus mara ke suku akhir.
Pada suku akhir, mereka akan menentang pilihan kelapan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang sebelum ini menundukkan gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 18-21, 21-15, 21-11.
Walaupun berjaya melangkah ke suku akhir, Arif mengakui persembahan mereka masih belum mencapai tahap terbaik.
Bagaimanapun, beliau menjadikan pengalaman itu sebagai pengajaran berharga menjelang pertemuan getir menentang beregu India esok.
Sementara itu, Roy King menekankan faktor komunikasi yang lebih baik di gelanggang antara penyumbang kepada kemenangan mereka, dan berharap momentum sama dapat diteruskan pada aksi seterusnya.
Sumber: Berita Harian