Arahan mengurung haiwan ternakan berkuatkuasa serta merta di Tambunan

Gambar Arahan Haiwan Ternakan

TAMBUNAN: 5 April 2026 – Penduduk di daerah ini diarahkan mengurung semua haiwan ternakan masing-masing dengan serta-merta susulan kebimbangan terhadap keselamatan awam dan peningkatan risiko kemalangan jalan raya.

Arahan berkenaan dikeluarkan Mahkamah Anak Negeri Tambunan kepada semua Ketua Kampung selepas Pejabat Daerah menerima aduan mengenai ternakan seperti kerbau dan lembu yang dibiarkan berkeliaran di kawasan kampung, jalan raya dan lokasi awam.

Walaupun tidak dinyatakan secara jelas dalam surat rasmi, arahan itu difahamkan berkuat kuasa serta-merta. Penguatkuasaan turut diperkukuh berikutan beberapa insiden kemalangan yang dilaporkan berpunca dari haiwan ternakan yang dilepaskan tanpa kawalan.

Ketua Daerah, OKK Philip P. Kitingan, berkata langkah tersebut penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, termasuk kemalangan yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya, selain melindungi harta benda awam dan tanam-tanaman penduduk.

Beliau menegaskan bahawa Ketua Kampung bertanggungjawab memastikan arahan itu dipatuhi sepenuhnya di peringkat komuniti.

“Ketua Kampung perlu memantau pelaksanaan arahan ini dan memastikan setiap pemilik menempatkan ternakan mereka dalam kandang atau kawasan berpagar yang selamat,” katanya ketika ditemubual.

Justeru, pihak berkuasa mengingatkan bahawa tindakan tegas boleh dikenakan terhadap pemilik yang gagal mengawal ternakan. Katanya, di bawah Undang-Undang Kecil Kawalan Binatang Ternakan (Ordinan Kerajaan Tempatan 1961), Majlis Daerah berkuasa menyita haiwan yang berkeliaran serta mengenakan kompaun dan caj berkaitan.

Haiwan yang tidak ditebus dalam tempoh ditetapkan boleh dilelong, manakala pemilik juga berdepan tindakan di bawah Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992, termasuk denda adat atau sogit sekiranya ternakan menyebabkan kerosakan kepada pihak lain.

Selain itu, pemilik boleh disiasat di bawah Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 jika didapati cuai atau membiarkan haiwan tanpa pengawasan sehingga menjejaskan keselamatan dan kebajikan ternakan.

Sehubungan itu, penduduk diseru agar mematuhi arahan berkenaan demi keselamatan bersama dan kesejahteraan komuniti setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal