APMM rampas rokok bernilai RM156 ribu di Tawau
Nilam Raon
TAWAU: Sebanyak 4,560 rokok putih bernilai RM156,000 dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Ops Pluto Timur di kawasan Sungai Merotai Kecil, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yengah berkata, pihaknya mengesan sebuah bot laju bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau kira-kira jam 4.45 pagi pada hari itu.
Menurutnya, bot itu memecut laju memasuki kawasan Sungai Merotai Kecil selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia.
“Kami menemui dua buah bot laju dan sebuah lori kargo tiga tan sedang menjalankan aktiviti pemunggahan rokok seludup,” katanya dalam sidang media di sini.
Katanya, ada 15 suspek berada di lokasi kejadian yang bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau selepas menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia.
“Kita dapati modus operandi sindiket penyeludupan rokok ini adalah menggunakan lorong tikus baharu yang bukan jadi tumpuan ketat pasukan penguatkuasa,” katanya lagi.
Amiludin berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian telah menemukan 3,500 kotak rokok jenama Astro, 500 karton rokok jenama Asatu Kretek, 560 karton jenama Asatu Mild.
Kesemua barangan dan kenderaan yang digunakan sindiket dirampas untuk siasatan di bawah Akta Kastam 1967 atas kesalahan penyeludupan rokok tidak bercukai.
Beliau percaya rokok berkenaan diseludup masuk untuk pasaran tempatan.
Sementara itu dalam dua kes berasingan sebuah bot ‘Barter Trade’ dari Filipina dan sebuah bot kargo tempatan turut ditahan Maritim Malaysia atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa permit yang sah.
– Tv Sabah News
0 Comments