Apa Yang Belia Perlu Nilai Sebelum Memilih

photo 2025 11 04 19 08 19

KOTA BELUD: 4 November 2025 — Ahli Dewan Belia Sabah yang mewakili DUN Kadamaian, Reichard Owens LRM Cherles, menegaskan bahawa golongan belia perlu menjadi nadi perubahan dalam sistem demokrasi negeri menjelang Pilihan Raya Umum DU Sabah ke-17.

Menurutnya, anak muda hari ini bukan sekadar pemerhati, tetapi harus tampil sebagai pengundi yang celik politik, berani menyuarakan pandangan, dan membuat pilihan berdasarkan integriti serta kemampuan calon atau parti yang bertanding.

“Kesedaran politik dalam kalangan belia amat penting. Mereka perlu menilai calon bukan kerana populariti, tetapi berdasarkan rekod kerja dan kejujuran dalam memimpin,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Reichard turut menyorot isu utama yang dihadapi oleh belia di Kadamaian dan seluruh Sabah, termasuk kekurangan peluang pekerjaan dan kadar gaji yang rendah.

Beliau berkata, ramai anak muda mempunyai potensi besar namun terhad oleh kurangnya ruang untuk mengembangkan bakat serta kemahiran mereka.

“Kerajaan dan pihak berkaitan perlu memperbanyakkan program latihan kemahiran serta inisiatif keusahawanan agar belia Sabah dapat berdikari dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat,” ujarnya.

Mengulas mengenai harapan terhadap calon yang bakal memimpin DUN Kadamaian selepas PRU DU SABAH KE-17, beliau berharap agar pemimpin yang dipilih kelak berintegriti, memahami keperluan rakyat, dan bijak mengurus peruntukan pembangunan dengan berkesan.

“Dana mungkin terhad, tetapi pengurusan yang baik dapat memberi impak maksimum kepada masyarakat. Pemimpin perlu tahu menilai keutamaan projek mengikut kepentingan rakyat,” tegasnya.

Reichard menyeru belia Kadamaian agar tidak memandang ringan kuasa undi mereka kerana suara anak muda mampu menentukan masa depan Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal