Monday, December 23, 2024

Anwar yakin dapat bentuk ‘kerajaan perpaduan’ dengan BN

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin beliau akan dapat membentuk dan menerajui kerajaan baru Malaysia dengan sokongan daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau mengatakan ini dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di sebuah stesen televisyen di Kuala Lumpur pada Isnin.

“Saya optimis pakatan dengan Barisan Nasional (BN) dapat membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Utusan.

Anwar berpuas hati dengan perkembangan perbincangan bersama wakil BN di sebuah hotel di ibu negara dan yakin dapat membentuk ‘kerajaan perpaduan’ dengan sokongan BN.

“Saya berpuas hati kerana perbincangan tumpu kepada keperluan mewujudkan kerajaan stabil (untuk) kepentingan rakyat. (Kami) menetapkan beberapa keutamaan dalam dasar terutama memacu pembangunan negara.

“Kami berpuas hati dengan perkembangan dan komitmen walaupun BN masih (meminta) sedikit waktu untuk melalui beberapa rundingan sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya dalam sidang media itu.

Dalam sidang akhbar yang disiar secara langsung oleh TV Asroawani, Anwar berkata tumpuan kerajaan baru itu nanti adalah menjadi kerajaan inklusif yang akan menjaga kepentingan semua kaum di negara ini.

Beliau juga menyebut untuk mengembalikan kekuatan ekonomi Malaysia yang agak stagnant sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ditanya mengenai kesediaan BN membuat komitmen, katanya walaupun parti itu belum membuat keputusan muktamad sebagai satu gabungan dengan PH, beliau amat gembira dengan hasil pertemuan dua gabungan itu pada hari ini (Isnin).

Dalam pilihan raya umum yang selesai pada Sabtu lalu, PH mendapat 75 kerusi manakala BN memperolehi 30 kerusi. Sekurang-kurangnya 112 jumlah kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan baru Malaysia.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights