KOTA KINABALU: 19 September 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menangani bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah, termasuk kerajaan negeri, agensi persekutuan serta petugas di lapangan.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus menyalurkan bantuan, termasuk peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta, sambil menilai keperluan sokongan lebih besar selepas fasa penyelesaian awal. Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada petugas pusat penempatan sementara (PPS), anggota keselamatan, pasukan penyelamat serta mereka yang membaik pulih bekalan elektrik, dan infrastruktur asas, kerana kesungguhan mereka meringankan beban mangsa.
Katanya, segala bentuk kerjasama daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, sehinggalah jentera di peringkat akar umbi adalah wajar dihargai kerana menjadi tonggak kepada keberkesanan pengurusan bencana.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja meninjau kawasan terjejas di Penampang dan Kota Kinabalu, termasuk lokasi tanah runtuh di Country Heights, PPS di Sekolah Kebangsaan St. Paul Kolopis dan Kampung Sarapung, serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya.
Sumber: Berita Harian,