KOTA KINABALU: Anak muda kelahiran Sabah, Mohamad Aminshah Md Nurdin atau lebih dikenali sebagai Amin Shah, 22, melakar pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Tempat Ketiga (2nd Runner Up) dalam pertandingan berprestij Mr Global Asian 2026 di pentas antarabangsa baru-baru ini.

Kejayaan itu bukan setakat mengangkat namanya sebagai wakil Malaysia, malah menjadi detik bersejarah bagi pasukan di bawah kendalian Barrynicker Gary yang pertama kali di peringkat antarabangsa.
Berasal dari Kota Kinabalu, Amin Shah membuktikan bahawa anak muda Borneo mampu bersaing setanding peserta dari pelbagai negara menerusi gabungan disiplin, keyakinan diri dan kepimpinan yang ditonjolkan sepanjang pertandingan.

Menurutnya, penyertaan tersebut didorong oleh keinginan untuk mencabar diri ke tahap lebih tinggi dan membawa suara anak muda Borneo ke persada antarabangsa.
“Saya mahu buktikan bahawa anak muda dari Sabah dan Borneo juga mampu berdiri sama tinggi dengan peserta antarabangsa. Pertandingan ini bukan sekadar penampilan, tetapi tentang karakter, disiplin dan nilai diri,” katanya.
Mengulas pencapaiannya sebagai Tempat Ketiga, Amin menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha, pengorbanan dan disiplin berterusan sepanjang tempoh persediaan. Pengiktirafan tersebut sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki diri untuk masa hadapan.
Bagi memastikan prestasi terbaik, beliau mengekalkan rutin senaman secara konsisten, pemakanan seimbang, menjalani latihan komunikasi dan persembahan pentas bagi meningkatkan profesionalisme diri.

“Saya menjaga fizikal dengan latihan berkala, mental dengan pemikiran positif, penampilan melalui latihan gaya berjalan dan komunikasi. Semua aspek perlu seimbang untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Kejayaan tersebut turut disokong pelbagai pihak termasuk Bachelor of Malaysia Organization yang memberi kepercayaan penuh dalam pengurusannya, selain promosi media sosial oleh Miss Malaysia Pageant dan Ronakawi. Tajaan pakaian oleh Ammie Amzar Atelier juga membantu menyerlahkan imej dan meningkatkan keyakinan beliau sepanjang pertandingan dan malam Grand Finale.
“Bagi saya, ini bukan penamat, sebaliknya permulaan. Saya mahu terus berkembang, memberi inspirasi dan membawa nama Sabah dan Malaysia lebih jauh di pentas dunia,” tambahnya.

Mr. Global Asian 2026 ialah pertandingan atau peraduan untuk mencari wakil lelaki Asia yang memiliki ciri-ciri global. Ini bermaksud, pemenang bukan sahaja kacak dari segi fizikal, tetapi juga memiliki personaliti menarik, berpengetahuan luas tentang isu-isu global, dan mampu menjadi duta yang baik untuk Asia di mata dunia.
