Amaran Cuaca: Pantai Barat Sabah dan Labuan Dijangka Alami Hujan Lebat, Angin Kencang 25–28 September

KOTA KINABALU:25 September 2025 – Pantai Barat Sabah dan Labuan dijangka berdepan hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora bermula 25 hingga 28 September ini susulan pengaruh sistem ribut tropika yang sedang berkembang di Lautan Pasifik.

Pengaruh “Super Typhoon” Ragasa (Nando) yang sebelum ini dikesan berhampiran Sabah kini berkurang intensitinya dan bergerak ke arah Tanah Besar China.

Oleh itu, amaran waspada cuaca signifikan sebelum ini untuk tempoh 22 hingga 25 ditamatkan susulan “Super Tyhoon” Ragasa telah menarik sebahagian besar kelembapan keluar dari kawasan berisiko.

Bagaimanapun, keadaan angin kencang di Laut China Selatan masih berterusan akibat kesan Taufan Ragasa dan dijangka disusuli sistem ribut tropika baharu yang sedang bergerak ke arah barat laut menuju Filipina.

Berdasarkan ramalan terkini, ribut tropika itu dijangka melanda Filipina pada pagi 26 September dengan kedudukan lebih hampir ke Sabah, iaitu kira-kira 1,460 kilometer dari Kudat, berbanding jarak “Super Typhoon” Ragasa sebelum ini.

Antara kesan dijangka berlaku di Pantai Barat Sabah dan Labuan ialah hujan lebat berserta ribut petir, angin kencang di kawasan pantai, ombak besar berisiko tinggi kepada bot kecil, serta ribut petir dari arah laut bergantung kepada kedudukan sistem ribut.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada, menangguhkan aktiviti laut berisiko dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sumber: Bencana Alam Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal