TELUPID: 9 Ogos 2025 – Pertandingan The Voice Telupid Musim Pertama (TVTS1) melabuhkan tirainya dengan kemenangan milik Alvein Dee Albenus, selepas menewaskan enam finalis lain di pentas akhir yang berlangsung meriah pada 9 Ogos 2025 lepas.

Enam finalis berentap dalam dua pusingan iaitu persembahan solo dan persembahan battle, mempamerkan bakat vokal yang memukau penonton. Merlyn Ejul meraih gelaran naib juara manakala Sammy Dahalan di tempat ketiga.
TVTS1 berlangsung selama empat minggu dengan kaedah penyingkiran seorang peserta setiap minggu dan hanya mengekalkan enam finalis ke pentas akhir.
Program itu mendapat sambutan hangat masyarakat setempat, dengan kehadiran penonton yang memberangsangkan setiap minggu dan ribuan penonton di media sosial.
Penganjur, Quadra Akin, menyifatkan TVTS1 sebagai kejayaan yang membanggakan, bukan sahaja kerana sambutannya, tetapi juga kerana peranannya sebagai wadah mengetengah bakat tempatan terutama di daerah pedalaman seperti Telupid.
“Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi menjadi gerakan budaya dan seni suara di Telupid. Kami sedang mempertimbangkan penganjuran TVTS2 tahun depan dengan penambahbaikan dari segi format dan peluang latihan vokal,” ujar Quadra.
Bagi juara, Alvein Dee, kemenangan ini adalah hasil usaha dan keyakinan meskipun berdepan cabaran kesihatan di awal minggu akhir pertandingan.

“Saya terharu kerana berjaya keluar dari zon selesa dan membawakan lagu-lagu di luar genre saya. Kemenangan ini milik semua yang menyokong dan mengundi saya selama empat minggu. Terima kasih kerana menjadi inspirasi saya,” katanya.
Dengan kejayaan musim sulung itu, The Voice Telupid dilihat berpotensi menjadi acara tahunan yang memperkukuh landskap seni suara di daerah tersebut dan membuka ruang lebih luas untuk bakat-bakat pedalaman bersinar di pentas besar.