SEREMBAN: 17 Ogos 2025 – Sabah FC membuka tirai kempen Piala FA dengan penuh bergaya apabila membenam Bunga Raya FC, 6-0, pada aksi pusingan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang tadi.
Sentuhan jurulatih baharu, Daniel Jean-Paul Desvaux De Marigny, jelas menjadi pemangkin apabila skuad Badak tampil bertenaga sejak awal permainan.
Hanya mengambil masa sembilan minit, Darren Lok menanduk masuk gol pertama sebelum Fergus Tierney menambah jaringan kedua tidak lama selepas itu.
Tuan rumah cuba mengimbangi perlawanan, namun benteng pertahanan rapuh dan percubaan mereka mudah dipatahkan penjaga gol Sabah, Damien Lim.
Tekanan berterusan membuahkan hasil apabila Sabah dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-44 yang disempurnakan Jafri Firdaus Chew untuk mendahului 3-0 di babak pertama.
Dalam separuh masa kedua, Darren Lok sekali lagi mencuri tumpuan dengan dua lagi jaringan pantas iaitu di minit ke-48 dan 52, untuk melengkapkan hatrik peribadi dan memastikan Sabah mendahului 5-0.
Gol penutup hadir pada minit ke-79 apabila Ajdin Mujagic menyempurnakan sepakan penalti selepas Muhammad Farhan Roslan dijatuhkan pertahanan lawan.
Dengan kemenangan besar itu, Sabah membawa bekalan selesa enam gol menjelang aksi timbal balik bulan depan, sekali gus hampir pasti mengesahkan slot ke pusingan seterusnya.
Sumber: Malaysia Tribune News