KOTA KINABALU : 7 Oktober 2025 — Seorang ahli kimia tampil sebagai saksi ke-17 dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang bersambung semula pada hari ke-18 di Mahkamah Koroner hari ini.
Saksi berkenaan memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, bagi membantu siasatan mencari punca sebenar kematian pelajar berkenaan.
Ahli kimia itu merupakan antara 33 saksi dewasa yang telah dipanggil memberi keterangan dalam prosiding tersebut.
Selain saksi dewasa, seramai 35 saksi kanak-kanak turut memberi keterangan di mahkamah sama bagi membantu siasatan.
Petugas media dibenarkan berada di dalam mahkamah untuk membuat liputan kerana saksi yang memberi keterangan kali ini adalah saksi dewasa.
Sebelum ini, petugas media tidak dibenarkan membuat liputan apabila prosiding melibatkan saksi kanak-kanak bagi menjaga kebajikan dan kerahsiaan mereka.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya, 17 Julai 2025.
Sumber: Sinar Harian