KUALA LUMPUR: 19 Januari 2026 – Rasuah mesti diperangi secara besar-besaran tanpa melindungi mana-mana pihak, termasuk individu berpangkat tinggi, kata Yang di-Pertuan Agong sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan terhadap kes rasuah yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga ke peringkat tertinggi, dan menyifatkan masalah itu hanya sebahagian kecil daripada isu rasuah yang lebih luas. Baginda turut menegaskan bahawa segala perancangan tidak akan sempurna sekiranya amalan rasuah masih berleluasa.
Seri Paduka Baginda menekankan bahawa usaha membanteras rasuah tidak seharusnya tertumpu kepada penerima semata-mata, sebaliknya pemberi rasuah, ejen dan pihak yang bersubahat juga perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas.
Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan secara pantas, tegas dan menyeluruh tanpa mengira pangkat atau kedudukan individu, manakala kerajaan perlu menyediakan hakim berpengalaman serta laluan khas di mahkamah bagi mempercepatkan perbicaraan kes rasuah.
Titah tersebut turut menekankan bahawa semua wakil rakyat dan penjawat awam perlu menghormati amanah jawatan. Mereka yang menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau melindungi perasuah dianggap sebagai pengkhianat negara.
Seri Paduka Baginda juga menyeru rakyat menjadi mata dan telinga dalam membanteras rasuah dengan melaporkan sebarang salah laku bagi memastikan amalan tersebut tidak berleluasa.
Sumber : Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
