ADUN Pintasan dilantik Pembantu Menteri

Share the news

ADUN Pintasan dilantik Pembantu Menteri

Datuk Fairuz Renddan

KOTA KINABALU: Setiausaha Politik Menteri Kewangan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Datuk Fairuz Renddan hari ini dilantik sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor juga mengumumkan jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan negeri yang dikosongkan oleh Fairuz akan diisi oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal.
Hajiji berkata, pelantikan Fairuz sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.


“Majlis angkat sumpah Fairuz (Datuk) akan ditetapkan oleh pihak Istana Negeri,” katanya ketika mengumumkan rombakan kecil itu menerusi satu kenyataannya di sini hari ini. Ketua Menteri turut mengumumkan pertukaran dua pembantu menteri membabitkan Kementerian Kewangan negeri dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.


Pertukaran dua pembantu menteri itu dilakukan berikutan pengosongan portfolio bagi jawatan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri selepas penyandangnya, Datuk Wetrom Bahanda yang bertindak meninggalkan Kerajaan Negeri pada pertengahan Oktober lalu.


Berikutan pengosongan itu, tempat Wetrom akan digantikan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan manakala jawatan Nizam akan diisi oleh Datuk Julita Majungki, yang sebelum ini adalah Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

– TV Sabah News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal