ADUN Moyog Gesa Peruntukan Khas, Dana Pembangunan Tanah Perkasa PANTAS di Bawah RMK13

4acd9251 aa0c 4e97 8986 e288c79191b0

KOTA KINABALU: 20 Julai 2026 — Kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan digesa memberikan komitmen lebih besar dalam memperkasa Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) melalui peruntukan khas dan penubuhan Dana Pembangunan Tanah Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin, berkata isu tanah bukan sekadar urusan pentadbiran tetapi melibatkan hak, maruah, keselamatan ekonomi dan kestabilan sosial rakyat.

“Tanah bukan sekadar sebidang tanah. Ia merupakan pengiktirafan terhadap sejarah keluarga, warisan nenek moyang dan hasil usaha turun-temurun,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Beliau berkata, ribuan rakyat Sabah yang telah menduduki, mengusahakan dan mewarisi tanah adat, tanah kampung dan tanah pertanian sejak berpuluh-puluh tahun masih belum mempunyai geran hak milik yang sah, menyebabkan mereka sukar mendapat pembiayaan, tidak dapat menggunakan tanah sebagai modal ekonomi dan berdepan risiko pertikaian pemilikan.

Datuk Donald merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah atas pengenalan Program PANTAS yang berjaya mempercepatkan pengukuran tanah, pengesahan hak milik dan pengeluaran geran.

“Kejayaan PANTAS membuktikan masalah ini bukan mustahil untuk diselesaikan. Apa yang diperlukan ialah iltizam politik, pembiayaan mencukupi dan perancangan jangka panjang,” katanya.

Beliau menggesa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf penyelesaian isu tanah di Sabah sebagai sebahagian daripada pelaksanaan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kerana tanah merupakan asas kepada identiti dan hak rakyat Sabah.

Antara cadangannya termasuk Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas PANTAS di bawah Rolling Plan RMK13, menubuhkan Dana Khas Pembangunan Tanah Sabah di bawah RMK13, serta menetapkan Pelan Tindakan Khas PANTAS sepanjang tempoh RMK13 dengan sasaran tahunan jelas dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur.

Beliau juga menggesa keutamaan diberikan kepada permohonan tanah yang telah lama tertangguh di luar bandar dan pedalaman, serta pengukuhan sistem pentadbiran tanah melalui pendigitalan penuh dan penggunaan teknologi moden.

“Penyelesaian isu tanah merupakan antara pelaburan pembangunan yang memberikan pulangan paling besar kepada negeri,” katanya.

“Apabila rakyat memiliki geran yang sah, mereka memperoleh kepastian undang-undang, lebih yakin melabur, boleh mendapat pembiayaan, nilai tanah meningkat, hasil ekonomi bertambah, pembangunan luar bandar lebih pesat dan pendapatan keluarga meningkat,” tambahnya.

Beliau menegaskan kejayaan PANTAS memerlukan komitmen berterusan dan tidak boleh bergantung kepada peruntukan tahunan yang terhad.

“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap rakyat Sabah yang berhak akhirnya memiliki geran tanah yang sah. Kerana apabila hak terhadap tanah diperkukuhkan, maka masa depan rakyat Sabah juga akan menjadi lebih kukuh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal