Tuesday, December 24, 2024

Adelinah sasar tawan Gunung Everest tahun depan

Adelinah di puncak Imja Tse dengan ketinggian 6,165m.

KOTA KINABALU: Adelinah Lintanga, pendaki dari Kota Belud mahu menjadi anak watan Sabah yang pertama berjaya menakluki gunung tertinggi dunia, Everest di Nepal dengan harapan dapat melakukannya pada awal tahun depan.

Ibu kepada seorang anak ini sudah berjaya sampai ke puncak gunung Imja Tse di Nepal baru-baru ini. Pendakian di gunung setinggi 6,165m itu adalah antara latihannya untuk bersedia melakukan penaklukan gunung tertinggi dunia itu nanti.

Gunung Imja Tse adalah antara gunung tertinggi di Nepal dan antara gunung yang digemari pendaki dari seluruh dunia untuk mempersiapkan diri untuk pendakian gunung tertinggi termasuk Everest.

“Jika semua berjalan dengan lancar termasuk dana yang mencukupi, saya akan melakukannya (mendaki Everest) pada awal tahun depan,” katanya.

Jika impiannya itu tercapai untuk menakluki Everest, Adelinah akan menjadi rakyat Sabah pertama sampai ke puncak tertinggi di dunia yang berketinggian 8,848m.

Ditanya mengenai pendakiannya di Nepal baru-baru ini, Adelinah mengakui bukan mudah untuk menakluki gunung Imja Tse, walaupun dia merupakan seorang atlet sepenuh masa.

Dia berkata, mendapat dorongan untuk mendaki kerana teringatkan nasihat Datuk Jeffrey Kitingan yang menasihatkannya untuk tidak mudah berputus asa mengejar impian.

“Saya masih ingat nasihatnya (Kitingan) agar sentiasa tidak berputus asa dalam mengejar impian. Itulah antara pembakar semangat saya,” katanya.

Adelinah memegang sijil dari Nepal Mountaineering Association yang mengesahkan pendakiannya.

Tidak dapat disahkan sama ada Adelinah, 37, adalah rakyat Sabah pertama yang pernah mendaki ke puncak setinggi itu. Bagaimanapun, pencapaiannya menjadi kebanggaan dan inspirasi kepada ramai penduduk di negeri ini.

Slogan kempen Kitingan “Mari Berjuang Untuk Sabah” dilihat sebagai pembakar semangat rakyat Sabah untuk terus berjuang demi masa hadapan yang lebih cerah. Itu juga pembakar semangat wanita Dusun ini.

Selain itu, Adelinah juga mendapat semangat daripada sumbangan dan sokongan komuniti, pemimpin masyarakat dan beberapa persatuan di Kota Belud.

“Kos pendakiannya bukan murah. Tapi kami ‘patak-patak’ untuk mengumpul dana sedikit sebanyak untuk membiayai pendakiannya. Ini mencerminkan semangat tolong-menolong dan bersatu padu rakyat kita di Sabah. Inilah perjuangan kita semua.

“Negeri kita akan lebih maju sekirannya kita sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada orang-orang kita yang ingin mencapai impian mereka,” kata pengurus Adelinah, Walter Mark Nukis.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights