Abd Rahman mahu jadikan KB sebagai jelapang padi negara
Mohd Syukrie Johary
KOTA BELUD: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berjanji memperkasakan daerah ini sebagai jelapang padi bagi menjadikannya pengeluar makanan terbesar negara.
“Sekarang ini, sebahagian besar petani Kota Belud beranggapan mereka hanya cukup makan sedangkan daerah ini boleh dibangunkan sebagai jelapang padi atau pengeluar makanan terbesar negara.
“Bagaimanapun, tiada gunanya Kota Belud menjadi pengeluar makanan, jika petani yang membanting tulang siang malam memberi makan kepada rakyat negara ini, tidak memperoleh pendapatan yang cukup,” katanya, di sini pada Ahad.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, Abdul Rahman akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru dengan membabitkan penyandang kerusi kawasan itu, Isnaraissah Munirah Majilis dari WARISAN dan Madeli @ Modily Bangali mewakili Pakatan Harapan (PH).
Parlimen Kota Belud mempunyai 79,885 pemilih berdaftar.
Beliau yang pernah menjadi wakil rakyat itu selama dua penggal turut berjanji meneruskan agenda mengubah kehidupan serta membangunkan daerah ini yang tertangguh lima tahun disebabkan keputusan PRU14 pada 2018.
“Apabila saya bercakap sambung agenda tertangguh itu, saya mempunyai rancangan besar dalam minyak dan gas, ada rancangan besar dalam pendidikan malah saya berhasrat memastikan pertanian di Kota Belud bukan menjadi bebanan kepada petani, sebaliknya sumber kekayaan mereka,” katanya.
Abdul Rahman mengakui daerah ini sentiasa dekat dihatinya dan masih banyak agenda lalu untuk mengubah landskap pembangunan dan ekonomi daerah belum selesai.
Beliau memberi jaminan jika ditakdirkan berjaya menawan kembali Kota Belud, ia akan meneruskan agenda yang tertangguh itu sebaik mungkin demi penduduk daerah ini.
– Tv Sabah News
0 Comments