PENAMPANG: 9 Oktober 2025 – Polis menumpaskan satu kegiatan loteri awam tanpa lesen di Kampung Nambazan, Penampang, hasil maklumat yang disalurkan orang awam melalui sistem QR Code Aduan Masyarakat.
Serbuan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang itu membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ejen loteri haram di kawasan berkenaan.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas beberapa peralatan elektronik yang digunakan untuk menjalankan transaksi pertaruhan serta sejumlah wang tunai dipercayai hasil aktiviti perjudian.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap individu terlibat dalam kegiatan loteri awam tanpa lesen.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat melalui sistem aduan berasaskan QR Code itu, yang terbukti berkesan dalam membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti jenayah di peringkat akar umbi.
PDRM menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan haram bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan komuniti di Penampang sentiasa terpelihara.
Sumber: Kenyataan Media