KOTA KINABALU: 7 Oktober 2025— Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa perjuangan parti itu akan berasaskan semangat Sabah for Sabah dan Justice for Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).
Menurutnya, STAR mahu menghadapi pilihan raya dengan membawa sentimen rakyat Sabah yang mahukan keadilan dan kuasa menentukan hala tuju sendiri selepas lebih enam dekad ketinggalan dalam pembangunan negara.
“Kita mahu rakyat faham bahawa rumah kita, kita jaga. Selama 62 tahun kita ketinggalan. Kuasa kini ada pada rakyat, jadi biarlah rakyat menentukan,” katanya.
Beliau turut menyeru parti-parti tempatan Sabah supaya bersatu bagi memperkukuh suara negeri itu, mencontohi kejayaan Sarawak yang berupaya memperjuangkan haknya melalui kesatuan politik.
“Kita sepatutnya bersatu seperti Sarawak. Bila mereka bersatu, mereka kuat dan mendapat apa yang mereka inginkan. Kekuatan itu datang daripada kesatuan dan kepimpinan,” katanya.
Jeffrey menegaskan bahawa kerjasama STAR dengan parti-parti tempatan lain, termasuk SAPP, kekal utuh dan pembahagian kerusi telah pun dimuktamadkan. STAR bersama sekutunya dijangka bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri.
“Kita mahu hubungan setara antara Sabah, Sarawak dan Malaya sebagai equal partner, bukan negeri nombor 12 seperti dulu,” jelasnya.