KOTA BELUD: 6 Oktober 2025 — Dua pelancong warganegara China dilaporkan hilang ketika menginap di Sutera Mantanani Resort, Pulau Mantanani.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Bin Mat Husain, laporan kehilangan diterima pada 5 Oktober sekitar jam 7.57 malam dari pihak keselamatan resort berkenaan selepas kedua-dua pelancong tersebut gagal mendaftar keluar seperti dijadualkan.
Siasatan mendapati, mangsa lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 28 tahun itu mendaftar masuk ke resort berkenaan pada 4 Oktober kira-kira jam 2.14 petang.
Mereka sepatutnya mendaftar keluar pada keesokan harinya jam 11.30 pagi namun tidak dapat dikesan sejak itu.
Kali terakhir kedua-dua mangsa dilihat, lelaki berkenaan memakai baju lengan panjang dan seluar panjang berwarna hitam, manakala wanita terbabit memakai baju lengan dan seluar pendek paras paha berwarna hitam.
Operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) dimulakan pada 5 Oktober dan masih diteruskan sehingga hari ini.
Operasi melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Belud, Pasukan Gerakan Udara (Unit Drone), Pasukan Gerakan Am (Platun Tek Mantanani), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam serta penduduk Kampung Pulau Mantanani.
Seramai 55 anggota terlibat dalam usaha pencarian yang menumpukan kawasan daratan pulau dan perairan sekitarnya.
Setakat ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui.
Pihak polis menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Frankie Bin Pain di talian 019-2151132 atau Balai Polis Kota Belud bagi membantu siasatan.
Sumber: kenyataan media