Pasangan Kembar Sabah Raih Emas Acara Beregu Boling Wanita Antara Negeri

PETALING JAYA: 30 September 2025 – Pasangan kembar Sabah, Nur Ayunni Junaidi dan Nur Alyssa Junaidi, menghadiahkan emas bermakna buat kontinjen Sabah apabila mengungguli acara beregu wanita pada Kejohanan Boling Antara Negeri Ke-36 di Sunway Megalanes.

Bekas pemain remaja kebangsaan itu tampil cemerlang dengan mengumpul 2,581 jatuhan pin, menewaskan pasangan Kuala Lumpur, Radin Nur Najwa dan Nur Syazwani Sahar, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Kontinjen Sarawak pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila pasangan Lavinia Kho Jia Jie, pemenang emas acara perseorangan, bergandingan dengan Nur Hazirah Ramli untuk meraih gangsa.

Dalam saingan kategori lelaki, Pulau Pinang yang diwakili pemain muda, Muhd Adam Darwish dan Muhd Aqil Faizal, turut mencuri perhatian selepas menewaskan pasangan berpengalaman dari Kuala Lumpur, Mohammad Hafiz Zainuddin dan Ahmad Azriq Izamuddin, dengan kelebihan 126 pin.

Walaupun Mohammad Hafiz melakukan dua kali permainan sempurna 300 pin pada permainan ketiga dan kelima, catatan keseluruhan 1,487 pin bersama pasangannya masih tidak mampu menyaingi rekod Pulau Pinang.

Muhd Adam menampilkan prestasi konsisten dengan jatuhan pin 255, 300, 278, 288, 216 dan 227, menjadikan jumlah keseluruhan 1,564 pin, manakala Muhd Aqil menyumbang 1,445 pin untuk keseluruhan 3,009 pin.

Pasangan kedua Kuala Lumpur, Muhammad Amin Syimir Safri dan Shaqeem Izwan Teh, membawa pulang gangsa.

Kejohanan berprestij ini akan diteruskan hari ini dengan acara berpasukan yang menawarkan lima pingat emas.

Sumber: TVS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal