KUCHING: 28 September 2025 – Kalimantan Timur, Indonesia, disahkan sebagai tuan rumah Sukan Borneo 2027 selepas persetujuan dicapai dalam mesyuarat tertinggi penganjuran sukan tersebut baru-baru ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis penutupan Sukan Borneo 2025 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak, malam Ahad.
Menurut beliau, keputusan awal itu membolehkan semua wilayah terlibat merancang persiapan lebih baik bagi menghadapi edisi akan datang.
Katanya, Kalimantan Timur, dengan pusatnya di Samarinda, menyatakan kesediaan menjadi tuan rumah menerusi persetujuan Gabenor, Dr. H. Rudi Mas’ud.
Sukan Borneo berbeza dengan Sukan Malaysia (SUKMA) kerana tidak menetapkan had umur penyertaan, terus menjadi platform penting kepada atlet pelbagai peringkat untuk mengasah bakat dan pengalaman.
Acara ini juga dilihat sebagai medan persediaan menghadapi kejohanan lebih besar seperti Sukan SEA dan Olimpik.
Edisi 2027 dijangka lebih meriah apabila Kalimantan Timur bercadang menjemput bukan sahaja Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Brunei Darussalam, malah lima lagi wilayah di Kalimantan.
Selain itu, terdapat kemungkinan penyertaan khas dari negeri atau negara luar Borneo.
Penganjuran yang lebih inklusif diyakini mampu meningkatkan saingan, dan memperkukuh kedudukan Sukan Borneo sebagai kejohanan serantau berprestij.
Sumber: Utusan Borneo
