KOTA KINABALU: 24 September 2025 – Polis sedang menyiasat serangan terhadap tiga pekerja syarikat telekomunikasi di Sembulan awal pagi tadi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kecurian kabel dilaporkan pada 19 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden ugutan jenayah dan khianat membabitkan kenderaan mangsa berhampiran bulatan Masjid Negeri Sabah.
Beliau berkata kejadian berlaku pada jam 3.55 pagi ketika tiga pekerja berkenaan sedang menjalankan rondaan dan menyedari kenderaan mereka diekori sebelum tiba-tiba diserang dengan balingan batu, tukul dan dilastik menggunakan objek keras.
Beliau berkata suspek juga bertindak agresif apabila cuba melanggar kenderaan mangsa, menyebabkan kerosakan serius termasuk cermin belakang pecah, lampu brek rosak serta bahagian badan kemek.
Tiga pekerja terbabit sempat menyelamatkan diri dengan memandu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi mendapatkan perlindungan, manakala kumpulan suspek melarikan diri.
Kasim berkata antara kenderaan suspek yang dikenal pasti ialah sebuah Isuzu D-Max berwarna oren, Toyota Hilux single cab putih, Nissan Navara hitam dan Toyota Hilux hitam.
Kasim menjelaskan siasatan awal mendapati kejadian ini berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kes kecurian kabel yang dilaporkan pada 19 September lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
Beliau menegaskan pihak polis memandang serius insiden serangan tersebut dan akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak terbabit.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber: Kupi-kupi Fm
