KOTA KINABALU, 18 September 2025 – Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, hari ini mengeluarkan kenyataan media berhubung tragedi banjir dan tanah runtuh yang telah melanda beberapa daerah di Sabah baru-baru ini, meragut 13 nyawa.
Jeffrey merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan masyarakat yang terkesan dalam bencana alam tersebut. Lokasi yang merekodkan korban jiwa termasuklah Kampung Cenderakasih di Kota Kinabalu (7 kematian), Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul di Papar (masing-masing 2 dan 3 kematian), serta Kampung Sarapung di Penampang (1 kematian).
“Tragedi ini mengingatkan kita bahawa banjir bukan sekadar musibah alam, tetapi juga dugaan yang menggugat rasa selamat, masa depan, dan harapan rakyat,” katanya sambil menekankan keperluan tindakan tegas dan segera untuk mengelakkan tragedi serupa berulang.
Selain daripada korban jiwa, Jeffrey turut menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan seorang pekerja Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) yang dihanyutkan arus deras sungai ketika menjalankan tugas memulihkan bekalan elektrik di Kampung Nuntunan, Apin-apin pada 15 September lalu. Beliau menyifatkan pekerja tersebut sebagai lambang pengorbanan anak Sabah yang berbakti demi memastikan rakyat lain tidak terputus bekalan elektrik, walaupun dalam keadaan bencana.

Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan kerja-kerja pemulihan sistem saliran di kawasan terjejas serta mempercepatkan projek-projek tebatan banjir yang sedang berjalan sebagai langkah segera. Untuk jangka panjang, pelan dan penyelesaian telah disediakan, termasuk Pembangunan Lembangan Sungai Moyog Pakej 2A dan Pakej 4 di Penampang.
Namun, Jeffrey menegaskan bahawa usaha-usaha kerajaan negeri telah berulang kali dinafikan kerana pembiayaan tidak diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sejak Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
Sehubungan itu, beliau merayu kepada YAB Perdana Menteri untuk meluluskan peruntukan segera kira-kira RM900 juta bagi melaksanakan projek-projek kritikal tersebut. “Inilah penyelesaian jangka panjang yang mampu melindungi nyawa, harta benda, dan masa depan rakyat Sabah,” tegas beliau.
Beliau menambah, “Rakyat Sabah sudah terlalu lama menderita setiap kali hujan lebat turun. Kita tidak boleh lagi menunggu tragedi seterusnya. Nyawa rakyat mesti diutamakan.”
Beliau telah melawat beberapa lokasi kejadian tanah runtuh dan banjir di sekitar Penampang, Tambunan dan Keningau bermula jam 8 pagi, hari ini, bagi meninjau keadaan dan memberi sokongan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.