Lima Mangsa Tanah Runtuh Ditemui Meninggal Dunia di Kampung Cenderakasih

Kota Kinabalu : Lima daripada tujuh sekeluarga yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, ditemukan meninggal dunia setakat jam 3 petang tadi.

Mangsa pertama, Husaima Sarabani, 50, ditemukan pada jam 12.30 tengah hari, manakala empat lagi ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada sebelah petang.

Empat mangsa berkenaan dikenal pasti sebagai dua beradik, Siti Khadijah Abdullah, 4, dan Mohd Ilham Abdullah, 2; sepupu mereka, Mohd Izzan Gandi, 7; serta datuk mereka, Abdul Halid Darak, 50.

Dua lagi mangsa, Maslinah Abdul Halid, 29, dan anaknya, Mohd Noriman Abdullah, 9, masih dalam pencarian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata operasi SAR melibatkan 20 anggota bomba, 30 anggota polis dan 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, runtuhan melibatkan timbunan tanah dan sampah setebal dua hingga tiga meter, dengan berat dianggarkan mencecah 30 tan, menyukarkan usaha menggali.

“Kita terpaksa menggunakan tenaga manusia untuk menggali kerana keadaan tanah dan runtuhan yang padat. Usaha sedang giat dijalankan bagi menjejaki dua mangsa yang masih hilang sebelum malam,” katanya di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.02 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

Beliau berkata, sembilan mangsa dilaporkan tertimbus dalam kejadian itu, namun dua daripadanya berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Seorang daripada mangsa yang terselamat, dikenali sebagai Abdullah, dihantar ke Hospital Likas untuk menerima rawatan akibat kecederaan di paha kiri.

Sumber & Gambar : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal