Warga Emas Hilang Dibaham Buaya, Hanya Kepala Ditemui

LAWAS:11 September 2025 – Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu ditemui dalam keadaan tragis apabila hanya bahagian kepalanya dijumpai di Sungai Kampung Siang-Siang Laut, malam tadi.

Mangsa, Taha Lamat, 80, ditemui ahli keluarganya kira-kira jam 10.30 malam pada jarak sekitar 500meter dari lokasi dia dilaporkan hilang ketika mandi berhampiran jambatan rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Clarence D. Primus Tiandun, berkata pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi mencari sisa tubuh mangsa lain diteruskan pagi ini bermula jam 7 di kawasan hulu sungai.

Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa dipercayai mandi di sungai berhampiran rumahnya sekitar jam 5.30 petang sebelum dilaporkan tidak pulang.

Ahli keluarga hanya menemui barang peribadi miliknya termasuk tuala dan selipar yang ditinggalkan di jambatan.

Penduduk kampung kemudian menjalankan pencarian menggunakan perahu di sepanjang sungai, namun gagal menemui mangsa sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan.

Sumber: Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal