SIPITANG: 8 September 2025 – Persatuan Masyarakat Murut Sipitang (PMMS) tampil menyatakan rasa kecewa dan kesal terhadap kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang didakwa menggunakan istilah “Murut Kafir” dalam ucapannya di Melalap pada 7 September lalu.
Dalam kenyataan rasmi, PMMS menegaskan ucapan tersebut telah menyinggung perasaan masyarakat Murut, mencemar maruah serta menyentuh identiti kaum berkenaan.
Menurut persatuan itu, penggunaan istilah “kafir” terhadap sesuatu bangsa atau komuniti boleh dianggap penghinaan, sekali gus berpotensi menimbulkan salah faham serta menggugat keharmonian antara kaum dan agama di Sabah.
PMMS turut menuntut agar Datuk Seri Shafie Apdal memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Murut di Sabah.
Pada masa sama, persatuan itu menyeru semua pemimpin politik lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya membabitkan isu sensitif berkaitan kaum dan agama.
PMMS juga berikrar untuk terus memantau perkembangan serta mengambil langkah sewajarnya demi mempertahankan maruah masyarakat Murut agar tidak dipandang rendah atau dihina oleh mana-mana pihak.
Sabah yang terkenal dengan keharmonian antara kaum dan agama, menurut PMMS, tidak sepatutnya dicemari dengan kenyataan yang boleh menggores perasaan atau merosakkan perpaduan masyarakat majmuk negeri ini.
Persatuan itu sekali lagi menegaskan desakan agar Shafie Apdal tampil dengan permohonan maaf terbuka, sambil menegaskan masyarakat Murut berhak mempertahankan maruah dan kedudukan mereka di Sabah.
Sumber: Kenyataan Media