KOTA KINABALU: 6 September 2025 – Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dilaporkan selamat selepas terjun dari tingkat atas sebuah bangunan di KK Plaza, Kota Kinabalu, dalam kejadian cubaan bunuh diri, kelmarin.
Mangsa dipercayai terjun sebelum jatuh menghempap sebuah kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir berkenaan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.46 pagi itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri kemudian dihantar oleh pasukan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan kecemasan.
Pemeriksaan awal pihak perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah kedua-dua kaki, keretakan di bahagian kepala dan kecederaan di seluruh badan.
Bagaimanapun, keadaannya dilaporkan stabil dan masih menjalani rawatan lanjut.
Menurut siasatan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah, kawasan tempat letak kereta di tingkat atas bangunan tersebut mudah diakses orang awam melalui lif dan tangga.
Namun, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.
Polis dimaklumkan tindakan mangsa dipercayai berpunca dari tekanan masalah peribadi.
Mangsa dijangka akan dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang untuk rawatan susulan, sementara siasatan lanjut masih dijalankan.
Pihak polis dalam kenyataan turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Orang awam juga digalakkan memberi perhatian lebih terhadap kesihatan mental serta segera mendapatkan bantuan pakar sekiranya menghadapi tekanan emosi.
Sumber: Kenyataan Media