Mayat lelaki hilang di Tuaran ditemukan 150km di Kudat

KUDAT: 5 Sept 2025 – Misteri kehilangan seorang lelaki di Tuaran sejak 30 Ogos lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan di Pantai Kelambu, Kudat, iaitu lebih 150 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Mangsa dikenali sebagai Husaini Saidin, 34, ditemui orang awam kira-kira jam 2 petang sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata hasil pemeriksaan awal mendapati mayat tersebut sudah meninggal dunia beberapa hari lalu ketika ditemukan.

Beliau menjelaskan mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ketika ditemui, namun pengecaman di Hospital Kudat mengesahkan mayat itu adalah lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Serusup, Tuaran.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima dihentikan pada jam 7.10 malam selepas pengesahan identiti mangsa dibuat.

Mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memukat ikan seorang diri menaiki bot pada pagi 30 Ogos lalu.

Ahli keluarga membuat laporan polis pada 1 September selepas hanya bot dan pukat rosak ditemui terdampar di tebing pantai.

Operasi SAR yang digerakkan melibatkan lebih 25 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta bantuan 20 penduduk kampung.

Tujuh bot milik penduduk kampung dan tiga unit dron turut digunakan sepanjang operasi bagi mengesan mangsa sebelum penemuan mayat di Kudat menamatkan pencarian.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal