KOTA KINABALU: 4 September 2025 – Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu akan meneruskan keterangannya berhubung punca kematian Allahyarhama Zara Qairina Mahathir pada hari kedua prosiding inkues di Mahkamah Koroner hari ini.
Beliau dijangka menjawab pertanyaan yang dikemukakan Pegawai Pengendali dari Jabatan Peguam Negara (AGC), selain soalan daripada pihak berkepentingan iaitu ibu dan bapa arwah melalui barisan peguam masing-masing.
Ibu arwah, Noraidah Lamat, 45, diwakili peguam Shahlan Jufri dan Rizwandean M Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Sementara itu, bapa arwah, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, pula diwakili peguam Sherzali Asli bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Turut dijangka mengemukakan soalan ialah peguam yang mewakili lima remaja tertuduh dalam kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak.
Seorang daripada tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.
Dalam keterangannya semalam, Dr Jessie menjelaskan kecederaan dialami Zara Qairina berdasarkan pemeriksaan konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.
Beliau juga menegaskan tidak mungkin arwah jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya ketika kejadian pada awal pagi 16 Julai lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lokasi serta perbandingan ketinggian mangsa dengan pagar konkrit koridor mendapati keadaan itu tidak memungkinkan Allahyarham terjatuh sendiri atau ditolak.
Prosiding semalam di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan berlangsung selama kira-kira tiga jam bermula jam 2 petang, manakala prosiding hari ini dijangka menyambung penjelasan Dr Jessie mengenai kecederaan dan penemuan yang diperoleh ketika bedah siasat.
Sumber: Buletin Tv3

