Hari Sabah Meraikan Sejarah, Budaya dan Wira Tanpa Nama

KOTA KINABALU : 31 OGOS 2025 – Ribuan pengunjung memeriahkan sambutan Hari Sabah di Padang Merdeka malam Ahad, dengan persembahan budaya, tarian tradisional, dan nyanyian artis tempatan menghidupkan lagi suasana sambutan Hari Sabah ke-62.

Acara yang bermula jam 8 malam itu menampilkan tarian yang dipenuhi elemen budaya dari kumpulan sekolah-sekolah pemenang anugerah, puisi lagu asli Kadazandusun atau hiis, deklamasi puisi, serta nyanyian lagu-lagu tempatan degan hiasan lampu pentas yang berwarna-warni sekali gus menambahkan lagi kemeriahan malam itu.

Antara sorotan utama ialah anugerah penghargaan kepada para pejuang terdahulu antaranya allahyarham Tun Mustapha Harun, allahyarham Tun Fuad Stephens, dan allahyarham Datuk GS Sundang sebagai pengiktirafan pengorbanan mereka untuk kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia. Ahli waris mereka menerima plak penghargaan dari Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dan pengerusi acara Datuk Seri Jeffrey Kitingan.

Tetamu juga menyaksikan montaj ringkas sejarah Sabah, bermula di zaman ketika masih dikenali sebagai North Borneo atau Borneo Utara di bawah pemerintahan British, North Borneo Chartered Company (NBCC 1881–1941), diikuti pendudukan Jepun (1942 – 1945) semasa perang dunia kedua, dan seterusnya menjadi Koloni British – rentetan peristiwa kesinambungan perjuangan untuk bebas dan merdeka daripada penjajahan.

Montaj ini menyorot usaha-usaha mengusir penjajah melalui pemberontakan, peperangan dan pengorbanan yang dipimpin oleh para pemimpin tempatan.

Acara itu turut menonjolkan kepelbagaian budaya Sabah dan usaha mengabadikan sejarah negeri ini, termasuk pengorbanan wira tempatan yang menentang penjajahan British dan Jepun, serta perjuangan untuk membentuk kerajaan sendiri sebelum menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Sambutan Hari Sabah tahun ini sekali lagi menekankan perpaduan, budaya, dan penghargaan terhadap wira-wira tanpa nama yang membentuk sejarah negeri. Ia menjadi wadah untuk masyarakat menghargai warisan budaya dan perjuangan generasi terdahulu. Acara ini bukan sahaja meraikan sejarah Sabah, tetapi juga menggabungkan persembahan seni, tarian tradisional, dan muzik tempatan, menjadikannya satu pengalaman yang menarik dan meriah bagi semua pengunjung.

Sumber: TheStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal