GENEVA: 2 September 2025 – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan segera terhadap dakwaan penggunaan kekerasan berlebihan oleh pihak berkuasa Indonesia selepas enam orang terkorban dalam siri rusuhan di beberapa wilayah negara itu.
Rusuhan berkenaan tercetus akibat kemarahan rakyat terhadap pengumuman elaun mewah untuk ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di tengah langkah penjimatan ekonomi.
Bantahan besar-besaran di seluruh Indonesia mencetuskan ketegangan dengan pasukan keselamatan hingga menimbulkan laporan mengenai penggunaan kekerasan melampau.
Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani, berkata pihaknya yang sedang memantau dengan teliti perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan tentang pelanggaran hak asasi manusia antarabangsa.
Beliau menegaskan semua pasukan keselamatan, termasuk tentera yang dikerahkan bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang, mesti mematuhi prinsip asas penggunaan kekerasan dan senjata api.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan perlu segera, menyeluruh dan telus bagi memastikan semua dakwaan pelanggaran undang-undang hak asasi manusia ditangani dengan adil.
Ravina turut menekankan kepentingan menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan mengekalkan kebebasan bersuara sambil memastikan ketenteraman awam selaras dengan norma antarabangsa.
Beliau menambah, dialog perlu dijadikan pendekatan utama untuk menangani kebimbangan rakyat, dan media pula mesti dibenarkan untuk melaporkan insiden secara bebas serta tidak berat sebelah.
Sumber: Buletin Tv3

