JAKARTA: 26 Ogos 2025 – Atlet kelahiran Sabah sekali lagi membuktikan kehebatan mereka di pentas antarabangsa apabila tampil cemerlang mewakili Malaysia pada Sukan SEA Orang Pekak (SEA Deaf Games) edisi kedua di Jakarta, Indonesia yang berlangsung dari 20 hingga 26 Ogos 2025.
Antara yang paling menyerlah ialah Azlan Kuste, yang menggondol tiga pingat emas dalam acara 800 meter, 1500 meter dan 4×400 meter, selain menyumbang satu gangsa dalam acara 4×100 meter.
Prestasi konsisten Azlan menjadikan dirinya antara atlet paling menyerlah sepanjang kejohanan.
Turut tidak ketinggalan, Asyraff Juakim yang membawa pulang satu emas menerusi 4×400 meter, dua perak dalam acara 800 meter dan 1500 meter, serta satu gangsa dalam 4×100 meter.
Sementara itu, Steffy Lakim menghadiahkan pingat perak untuk Malaysia dalam acara pecut 100 meter, manakala Ali turut menambah koleksi emas negara melalui kejayaan bergaya dalam pasukan 4×400 meter.
Secara keseluruhan, atlet Sabah menyumbang deretan pingat emas, perak dan gangsa sekali gus membantu mengangkat nama Malaysia di arena serantau.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan negeri tetapi juga membuktikan kemampuan atlet pekak negara bersaing setanding dengan lawan dari rantau Asia Tenggara.
Kejayaan atlet Sabah di Jakarta diyakini mampu memberi inspirasi kepada generasi muda khususnya golongan atlet pekak untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang sukan, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai kuasa sukan inklusif di rantau ini.