Dua PATI Ditahan Miliki Syabu di Tawau

TAWAU: 22 Ogos 2025 – Polis menahan dua lelaki warga asing dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam operasi yang dijalankan semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, serbuan pertama pada jam 12.20 tengah hari membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.

Pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 0.06 gram. Ujian saringan awal turut mengesahkan suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

10 minit kemudian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 50-an di lokasi sama.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas satu paket plastik berisi syabu dengan anggaran berat 0.10 gram. Ujian awal turut menunjukkan suspek positif bahan terlarang yang sama.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Champin, usaha mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam aktiviti ini sedang giat dijalankan. Beliau menegaskan pihak polis akan terus mempertingkatkan operasi bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan memastikan Tawau bebas daripada ancaman najis dadah.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal