PITAS: 17 Ogos 2025 – Majlis Sambutan Hari Sabah Peringkat Daerah Pitas, yang berlangsung di Dewan Terbuka, Perkarangan Tamu Kabingan, kelmarin, telah membangkitkan kembali sejarah kelahiran dan kemerdekaan negeri Sabah serta menyorot cabaran yang masih dihadapi. Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, dalam ucapannya menekankan bahawa 31 Ogos 1963 merupakan tarikh keramat yang menandakan berakhirnya penjajahan dan bermulanya pemerintahan sendiri bagi Sabah.
Menurut Jeffrey, pemimpin-pemimpin Sabah, Sarawak dan Brunei telah memohon kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 9 September 1962 untuk diberikan peluang membicarakan kemerdekaan sebelum pembentukan Malaysia.
Permohonan ini bertujuan memastikan Sabah tidak dijajah semula selepas pihak British berundur.
Beliau menjelaskan lagi bahawa pada 8 Ogos 1963, Majlis Perundangan North Borneo atau Borneo Utara sebulat suara membuat resolusi untuk memerdekakan Sabah pada 31 Ogos 1963, tanpa mengira sama ada Malaysia menjadi kenyataan atau tidak pada waktu itu. Governor British pada ketika itu telah merestui keinginan tersebut.
“Status ataupun kedudukan negeri Sabah pada 31 hari bulan Ogos tahun 1963 berubah dari jajahan koloni menjadi sebuah negara,” ujar beliau, sambil menjelaskan justifikasi meraikan Hari Sabah sebagai hari kelahiran dan kemerdekaan Sabah.
Beliau turut mengingatkan bahawa Hari Sabah telah diraikan di seluruh Borneo Utara pada waktu itu dengan pelancaran lagu kebangsaan “Sabah Tanah Airku” dan pengibaran bendera Sabah.
Bagaimanapun, Jeffrey mengakui bahawa Sabah masih jauh dari mencapai kemerdekaan sepenuhnya.
Beliau menekankan cabaran dalam aspek kewangan, infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, serta kebergantungan kepada pihak lain.
Beliau menyeru agar rakyat Sabah terus menuntut hak-haknya di dalam Perlembagaan Malaysia dan memperjuangkan “Justice for Sabah”, dengan semangat murni yang sama dalam menuntut “Justice for Zara.”
Jeffrey akhiri dengan ucapan “Selamat Hari Sabah”. Sambutan itu menjadi wadah untuk merenung sejarah, menghargai pencapaian, dan membangkitkan semangat perjuangan untuk masa depan Sabah yang lebih gemilang.