Kota Kinabalu : 7 Ogos 2025 – Telefon bimbit milik ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, yang mengandungi pelbagai rakaman audio dan komunikasi penting berkaitan kes kematian pelajar tersebut, telah diserahkan kepada pihak polis petang tadi bagi membantu siasatan.
Ibu arwah, Noraidah Lamat, hadir ke Balai Polis Karamunsing kira-kira jam 4 petang, ditemani oleh dua peguamnya, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, serta wakil sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk tujuan tersebut.
Menurut Hamid, telefon bimbit itu merupakan salah satu bahan bukti utama dalam siasatan kerana mengandungi kandungan komunikasi dan perbualan sebelum kejadian tragik menimpa pelajar berkenaan.
“Telefon bimbit diserahkan sendiri oleh Puan Noraidah kepada pihak polis dan proses penyerahan selesai sekitar jam 4.35 petang.
“Pihak polis akan menghantar semua item yang diserahkan ini ke Makmal Forensik PDRM di Cheras untuk tujuan analisis,” katanya kepada media sejurus selepas proses penyerahan selesai.
Hamid turut menjelaskan bahawa penyerahan telefon bimbit tersebut sepatutnya dilakukan lebih awal, namun ditangguhkan susulan keadaan emosi ibu Zara yang masih belum stabil selepas sesi soal siasat selama hampir empat jam di IPD Sipitang semalam.
“Alhamdulillah, prosedur hari ini berjalan lancar. Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan penyerahan ini,” tambahnya.
Sebelum ini, pakaian yang dipakai oleh arwah Zara semasa kejadian turut diserahkan sebagai bahan bukti.
“Setakat ini siasatan masih diteruskan oleh pihak polis. Sama ada dari Bukit Aman atau unit lain, kami serahkan kepada pihak berkuasa. Sekiranya ada perkembangan, ia akan dimaklumkan secara rasmi,” jelas beliau.
Dalam pada itu, wakil keluarga turut mengesahkan bahawa tiada proses bedah siasat (post-mortem) dilakukan terhadap jenazah Zara sejak awal, dan isu ini bukan disebabkan ketiadaan tandatangan ibu mangsa.
“Bukan kerana tandatangan tidak diberi. Memang tidak dilakukan langsung post-mortem dari awal,” jelas mereka.
Akhir sekali, pihak keluarga memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau komen negatif yang boleh menjejaskan emosi ibu arwah yang kini dalam keadaan tertekan.
“Kami mohon masyarakat dan netizen agar berhenti menyebarkan spekulasi dan memberikan komen yang tidak membina. Ibu Zara amat memerlukan sokongan moral dan doa anda semua. Hormatilah situasi ini,” tambah mereka.
Kes kematian Zara Qairina Mahathir terus mencuri perhatian masyarakat dengan pelbagai pihak mendesak siasatan menyeluruh dijalankan bagi menuntut keadilan buat arwah dan keluarganya.
Sumber: Utusan Borneo