JATIKS Gesa FINAS Elak Kontroversi Melibatkan Penggiat Industri Kreatif Negeri Sabah

Gambar JATIKS

KOTA KINABALU: 22 Julai 2025 – Maklumat mengenai FINAS bakal mengadakan program rasmi mereka di Borneo.TV telah mewujudkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penggiat industri kreatif di Sabah. Hal demikian dilihat tidak wajar memandangkan entiti berkenaan bukan dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Sabah.

Jurucakap Jawatankuasa Tindakan Industri Kreatif Sabah (JATIKS), Andrew Ambrose atau lebih dikenali sebagai Atama, menggesa agar FINAS tidak terjebak dalam kontroversi membabitkan platform tersebut, yang ketika ini sedang berdepan dua laporan polis susulan penerbitan artikel didakwa menghina penggiat kreatif Sabah.

Artikel berkenaan dikatakan memperlekeh penggiat seni Sabah dengan menggambarkan mereka sebagai “hidup di bawah tempurung”, bersifat kenegerian, terlalu taksub dengan pandangan sendiri, dan sering dilihat sebagai “play victims”.

Menurut Atama, pihaknya masih menanti keputusan Mahkamah Anak Negeri Sabah, yang akan menentukan sama ada kes tersebut layak dibicarakan menurut sistem perundangan adat negeri itu.

Maklumat bahawa FINAS akan menganjurkan program rasmi di pejabat Borneo.TV yang terletak di Oceanus, Kota Kinabalu pula memarakkan lagi senario kontroversi ini.

Tindakan itu mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan komuniti kreatif dan pengguna media sosial, yang rata-rata mempertikai rasional pemilihan lokasi terbabit.

Antara suara kritikal di media sosial termasuk kenyataan seorang pengguna Facebook, Ramli Carlo, yang mempersoalkan sama ada program tersebut benar-benar bersifat inklusif untuk rakyat Sabah atau sekadar dipengaruhi pihak berkepentingan luar.

Seorang lagi pengguna pula, Rodie Sofazr, turut meluahkan rasa hairan terhadap kemunculan mendadak entiti terbabit dalam ekosistem kreatif Sabah.

Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), Chester Pang, turut menyuarakan rasa kecewa apabila dimaklumkan program berkenaan bakal berlangsung di premis Borneo.TV.

Beliau memaklumkan bahawa isu tersebut telah dibawa secara langsung kepada Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib.

Chester menegaskan, keputusan kini terletak di tangan pihak FINAS sama ada untuk berpihak kepada penggiat kreatif tempatan, menyokong platform luar, atau memilih untuk kekal berkecuali.

Mengulas tentang ura-ura perhimpunan bantahan yang dikatakan akan berlangsung malam ini, Chester tidak menggalakkan sebarang bentuk protes.

Katanya, kehadiran Menteri Komunikasi dan Ketua Menteri Sabah pada acara sama perlu dihormati, demi menjaga imej dan persepsi terhadap industri kreatif Sabah.

Beliau juga memberi jaminan bahawa pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut selepas mengadakan pertemuan dengan Sekretariat SMJ dan Ketua Menteri dalam masa terdekat ini.

Situasi ini memperlihatkan ketegangan antara komuniti kreatif Sabah dan kehadiran entiti luar yang dilihat kurang sensitif terhadap konteks tempatan. Penggiat industri di Sabah mahu suara mereka diiktiraf dan dilibatkan dalam setiap keputusan yang menyentuh masa depan industri kreatif negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal