KOTA KINABALU, 25 Jun 2025 – Seorang bekas finalis rancangan realiti MasterChef Malaysia bersama suaminya dijatuhi hukuman penjara 34 tahun bermula pada tarikh tangkapan, Disember 2021, oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah mereka dalam satu insiden tragik yang berlaku pada Disember 2021.
Tertuduh, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 34, yang pernah mencuri tumpuan ramai melalui program masakan popular itu pada tahun 2012, dan suaminya Mohammad Ambree Yunos, 40, yang merupakan seorang kontraktor, didapati bersalah menyebabkan kematian pembantu rumah warga Indonesia berusia 28 tahun di kediaman mereka di Amber Tower, Jalan Lintas, Penampang.
Mangsa disahkan meninggal dunia antara 10 hingga 13 Disember 2021 ketika pasangan itu dilaporkan berada di Kundasang untuk bercuti. Mayat mangsa ditemui sebaik mereka pulang ke rumah dan hasil siasatan mendedahkan kesan-kesan kecederaan termasuk kesan melecur pada tubuh mangsa.
Pasangan itu pada awalnya berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori. Namun selepas perbicaraan penuh dan pertimbangan menyeluruh oleh pihak mahkamah, pertuduhan tersebut dikurangkan kepada “menyebabkan kematian tanpa niat membunuh”, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Hakim dalam keputusannya menyatakan bahawa keterangan yang dikemukakan menunjukkan wujudnya penderaan fizikal terhadap mangsa dalam tempoh yang berpanjangan, meskipun tiada bukti kukuh menunjukkan niat secara langsung untuk membunuh.
Sepanjang perbicaraan, wanita tertuduh turut merayu agar diberi peluang mendapat rawatan bagi masalah kesihatan mental selain memohon agar diberikan ruang untuk menjaga dua anak kembar mereka yang disahkan menghidap autisme. Rayuan tersebut menjadi faktor pertimbangan mahkamah dalam menjatuhkan hukuman berbentuk pemenjaraan berbanding hukuman mati.
Kes ini telah menarik perhatian ramai kerana ia melibatkan bekas personaliti televisyen serta isu hak dan keselamatan pekerja domestik warga asing di Malaysia.
Sumber – The Reporter