TAMBUNAN, 18 Jun 2025 – Klinik Desa Sunsuron dan Nambayan, yang terletak di daerah Tambunan, Sabah, kini berwajah baharu setelah dinaik taraf kepada bangunan konkrit yang lebih selesa dan moden. Majlis perasmian yang bersejarah ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman bin Aawang Sauni, dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan para pegawai MAFFI, hari ini.
Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan KKM dalam memperluas dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di seluruh negara, dengan fokus utama diberikan kepada kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak. Lukanisman dalam ucapannya menegaskan bahawa pelbagai projek infrastruktur kesihatan, termasuk klinik desa, klinik kesihatan, dan hospital, telah dan akan terus dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, pada tahun 2024, sejumlah 58 projek naik taraf dan pembinaan fasiliti daif di Sabah telah diluluskan, merangkumi 25 projek roboh dan bina baru serta 33 projek penambahbaikan. Ini adalah bukti nyata kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menangani isu kekurangan dan kelemahan infrastruktur kesihatan di kawasan yang memerlukan.
Klinik Kesihatan Sunsuron dan Nambayan, Tambunan, yang kini dinaik taraf, menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan penting, termasuk perkhidmatan kesihatan ibu dan anak, perkhidmatan pesakit luar, farmasi, makmal TB dan malaria, serta program-program kesihatan primer lain dengan bayaran minimal atau pengecualian. Klinik ini memberi manfaat langsung kepada lebih 8,138 penduduk tempatan.
Lukanisman turut menekankan kepentingan meningkatkan kesaksamaan akses kesihatan antara bandar dan luar bandar, selaras dengan Pelan Strategik KKM dan agenda Malaysia MADANI. Beliau memberi jaminan untuk meneliti isu-isu yang dihadapi di Hospital Tambunan, seperti yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, dan berjanji untuk membuat lawatan susulan bagi meninjau keadaan fasiliti di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.
“Saya akan pergi melawat hospital-hospital tersebut dan lebih kerap turun ke Sabah dan juga meninjau perbezaan fasilitis yang terdapat di wilayah Semenanjung Malaysia, Sabah dan juga Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut mengumumkan peningkatan peruntukan yang signifikan daripada Kerajaan MADANI kepada Jabatan Kesihatan Sabah bagi tahun 2024 dan 2025. Sejumlah 55 buah klinik kesihatan di kawasan luar bandar akan dinaik taraf atau dibina pada tahun ini, sebagai usaha berterusan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa dan bermutu.
Sementara itu, Jeffrey dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek penting ini. Beliau menekankan bahawa pembangunan ini adalah bukti aspirasi rakyat diutamakan dalam perancangan pembangunan kesihatan negara.
Dengan fasiliti baharu ini, Klinik Desa Sunsuron dan Nambayan dijangka dapat menangani keperluan kesihatan penduduk dengan lebih menyeluruh dan efisien. Kejayaan projek ini adalah hasil kerjasama erat dan semangat gotong-royong antara kerajaan, pegawai kesihatan, dan masyarakat setempat. Peningkatan infrastruktur kesihatan di Tambunan ini menandakan satu lagi langkah maju dalam usaha Kerajaan MADANI untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang inklusif dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia.