Perjalanan budaya bermula

Share the news

49 calon rasmi Juara Buvazoi Tavantang Kaamatan 2025 telah berdaftar.

KOTA KINABALU: 17 Mei 2025 – Proses untuk menentukan Juara Buvazoi Tavantang Kaamatan (BTK) Negeri Sabah 2025 sudah bermula secara rasminya hari ini.

Seramai 49 calon rasmi telah mendaftar dalam sebuah majlis penuh bermakna yang berlangsung dengan penuh semangat kebudayaan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Majlis pendaftaran itu sekaligus menandakan permulaan rasmi kepada perjalanan kompetitif selama 12 hari bagi para peserta, yang masing-masing mewakili daerah mereka dan telah membuktikan kelayakan sebagai pemenang di peringkat daerah.

Dalam ucapannya, penganjur utama BTK Casey Jovial menyatakan rasa syukur atas kelancaran majlis serta menyampaikan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya mara ke peringkat negeri.

“Anda semua adalah wakil terbaik dari daerah masing-masing, dan anda sudah pun menang di peringkat awal perjuangan budaya ini,” katanya dalam ucapan sempena majlis tersebut.

Menurutnya, tahun ini menandakan edisi ke-18 penganjuran BTK, dan buat pertama kalinya ia diiktiraf sebagai pertandingan tahunan rasmi di bawah Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri Sabah.

“Pengiktirafan ini dilihat sebagai satu kejayaan besar dalam usaha mengukuhkan nilai dan peranan lelaki dalam warisan budaya KDMR.

“BTK bukan sekadar pertandingan, tegas penganjur. Ia adalah simbol perjuangan budaya, tempat mendidik dan memartabatkan semula peranan lelaki sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dalam masyarakat,” kata Casey.

Dia turut menekankan nilai-nilai penting seperti keberanian, keteguhan hati dan tanggungjawab – selari dengan semangat legenda Huminodun yang sering dijadikan rujukan dalam budaya KDMR.

Dalam kesempatan itu, Casey memberikan penghargaan khas kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, atas sokongan padu beliau terhadap perjuangan budaya ini sejak awal.

“Beliau adalah pemimpin pertama yang benar-benar mendengar suara kami, khususnya anak muda yang mahu budaya ini terus diberikan nafas baharu,” ujarnya, sambil turut mengiktiraf sumbangan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Mackey Apison yang merupakan antara penyokong awal BTK sejak 2021.

Majlis juga mengumumkan pengiktirafan khas yang akan diberikan semasa pentas akhir, termasuk: Anugerah Manifesto untuk alumni yang berjaya melaksanakan tugasan pasca kemenangan; Anugerah Jasamu Dikenang (kategori muzik), Anugerah Pengurus Terbaik, dan Anugerah Penganjur BTK Daerah Terbaik.

Tahun ini, dua lagi anugerah baharu akan diperkenalkan dan bakal diumumkan pada malam kemuncak pertandingan.

Sementara itu, menurut Casey, mulai esok, para peserta akan menjalani pelbagai aktiviti rasmi BTK yang dimulakan di Imago Shopping Mall, sebelum diteruskan dengan kem intensif selama lima hari empat malam di Perkampungan Budaya Sabah, Nuluhon Garden, Inanam. Di sini, peserta akan diuji dari segi semangat, pengetahuan dan jati diri sebagai warisan lelaki KDMR.

“Ini bukan proses yang mudah, tapi saya yakin anda semua mampu lalui dengan baik. Jangan anggap tempoh ini sebagai beban, tapi lihatlah ia sebagai satu proses membentuk jiwa dan mengenal diri,” pesan Casey kepada peserta.

Pertandingan akhir dijadualkan berlangsung pada 29 Mei, di mana hanya seorang akan dinobatkan sebagai Juara BTK Negeri Sabah 2025.

“Walaubagaimanapun,, keseluruhan perjuangan para peserta akan terus dikenang sebagai satu gelombang kebangkitan budaya lelaki di Sabah.

“Jadikan 12 hari ini sesuatu yang bermakna – untuk diri anda, untuk budaya kita, dan untuk masa depan warisan KDMR. Kita satu keluarga besar di dalam Buvazoi Tavantang Kaamatan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal