KOTA KINABALU: Sokongan para pengundi di Kapayan kepada parti Sabah untuk memimpin kerajaan negeri kian menjadi kuat, kata Ketua Bahagian Parti STAR N.25 Kapayan, Bernard A. Logijin.
Menurut beliau, sejak kerusi DUN Kapayan diwujudkan 21 tahun lalu, ia dipegang oleh parti-parti dari Malaya.
“21 tahun adalah tempoh yang sangat lama untuk rakyat menilai apakah yang telah dicapai oleh parti-parti dari Malaya ini.
“Para pemimpin parti-parti Malaya sudah tentu akan berkata bahawa mereka telah berjaya membawa banyak perubahan kepada Kapayan. Samaada mereka telah memenuhi aspirasi sebenar rakyat, kita tidak tahu. Apa yang pasti, para pengundi Kapayan kini mahukan perubahan. Mereka mahu parti tempatan untuk memenuhi aspirasi mereka seperti mana yang telah dinyatan oleh Presiden Parti STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan baru-baru ini,” katanya.
Kerusi DUN Kapayan diwujudkan pada tahun 2004. Sejak itu ia telah dipegang oleh MCA dan DAP hingga ke hari ini.
Bernard mengatakan slogan “Sabah untuk Sabahan” semakin kuat dilaungkan oleh penduduk Kapayan.
“Semua pihak harus menghormati sentimen rakyat. Dan sebagai anak jati Kapayan, saya bersedia untuk mewakili rakyat dikawasan ini untuk memenuhi aspirasi sebenar mereka sekirannya saya diberi peluang.
“Bagi mereka, hanya parti tempatan sahaja yang memahami aspirasi sebenar mereka. Bukan parti luar. Dan saya sebagai anak jati disini amat mengenali dan memahami isi hati penduduk,” katanya.
Beliau menyatakan sokongan tegas terhadap aspirasi “Sabah untuk Sabahan”, sambil menolak dakwaan bahawa sentimen tersebut bersifat memecah-belahkan negara.
Beliau menyokong kenyataan Dr Jeffrey yang sebelum ini telah memberikan reaksi kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang baru-baru ini mengkritik gerakan itu sebagai tidak membawa manfaat kepada rakyat Sabah.
“Mana-mana pihak tidak dapat menafikan fakta sejarah dan realiti politik Sabah sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia. “Sabah untuk Sabahan” bukan satu bentuk penderhakaan – ia adalah pendirian sah yang mempertahankan maruah dan hak rakyat Sabah yang telah lama diketepikan,” kata Bernard.
Menurut beliau, rakyat Sabah, khasnya di Kapayan, berhak menyuarakan aspirasi sendiri tanpa perlu pengesahan atau keizinan daripada pemimpin di Semenanjung.
Bernard menegaskan bahawa Sabah tidak pernah dimaksudkan sebagai negeri bawahan dalam penubuhan Malaysia, sebaliknya sebagai rakan setara bersama Sarawak dan Tanah Melayu berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Malaysia dibentuk atas semangat perkongsian, bukan penguasaan. Namun sejak sekian lama, Sabah telah dilayan seperti tanah jajahan – sumber kami diambil, suara kami diketepikan, dan pembangunan kami diabaikan,” katanya.
Bernard turut mempersoalkan sikap sesetengah pemimpin nasional yang cuba menutup suara rakyat Sabah atas nama perpaduan, sedangkan masalah sebenar berpunca daripada keangkuhan kuasa pusat.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan “Sabah untuk Sabahan” akan diteruskan, bukan sebagai slogan politik sementara tetapi sebagai usaha memulihkan kedudukan sebenar Sabah dalam Persekutuan.
“Sabah bukan jajahan Malaya, dan tidak akan pernah menjadi begitu. Sama ada kita mara ke hadapan sebagai rakan setara dalam Persekutuan atau membentuk haluan baharu, itu akan ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri – bukan di Putrajaya,” katanya mengakhiri kenyataan.
Pengundi Kapayan mahu parti tempatan, calon anak jati daerah
